Nasib keluarga ini mula berubah selepas Pandak Mayah mencari kerbaunya yang hilang. Semasa hujan lebat, dia singgah berlindung di bangsal yang ditinggalkan orang. Di situ Pandak Maya berjumpa kerak nasi yang dikatakan Maya Padi (semangat Padi).
Dalam masyarakat Melayu petani, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang perlu dihormati.Apabila Maya Padi yang berupa kerak nasi dibawa balik kepada isterinya, Mak Andak Alang telah mencampurkan dengan nasi yang ditanak. Memakan nasi bercampur Maya Padi ini menjadi titik peralihan yang mengubah nasib keluarga Pandak Maya. Rezekinya mula bertambah dan seterusnya isterinya hamil lagi.
Rezeki Pandak Mayah mula melimpah selepas menjumpai burung layang-layang di gua, di Belanga Pecah. Dia telah menjual sarang-sarang burung tersebut kepada tauke Cina di Pengkalan (Padang Mat Sirat) untuk pasaran Pulau Pinang. Sarang burung layang-layang menjadikan keluarga Pandak Mayah kaya.
Pada suatu malam , Pandak Mayah terdengar suara ular itek (ular cinta Mani) berdekatan rumahnya. Pandak Mayah berjaya menangkap dua ekor lalu dimasak untuk hidangan keluarga. Mengikut kepercayaan orang tua, siapa yang memakan daging ular itek ini akan beroleh rezeki yang melimpah. Jelaslah dari cerita di sekitar kehamilan Mak Andak Alang, keluarganya sudah berlimpah rezeki. Ini suatu petanda bayi bakal lahir membawa tuah.
Apabila tiba masa, Mak Andek Alang melahirkan bayi perempuan yang comel, dan dinamakan Mahsuri. Rezeki keluarga ini semakin bertambah apabila Pandak Mayah menjumpai batu kemian yang kemudiannya dijual kepada taukeh Cina di Padang Mat Sirat.
Mahsuri membesar seperti gadis-gadis yang lain tetapi kecantikannya
yang membezakan dari gadis-gadis yang lain. Kecantikannya menjadi buah mulut orang di Langkawi.
Cerita kecantikan ini menarik minat pembesar Langkawi bergelar Dato
Seri Kama Jaya untuk melihat sendiri wajah Mahsuri. Apabila datang
melawat Kampung Mawat, ternyata Dato Seri Kama Jaya pun turut terpikat
dengan kecantikan Mahsuri dan ingin menyunting sebagai isteri kedua.
Bagaimanapun hasratnya ditentang isteri bernama Mahura. Mahura dikatakan
seorang wanita yang pintar dan banyak membantu suaminya mentadbir
Langkawi. Hal ini menyebabkan Dato Seri Kama Jaya sukar untuk mengenepikan
begitu sahaja isterinya.
Perkahwinan yang diatur Mahura tidak menyelesaikan masalah kebimbangan kemerosotan pengaruhnya ke atas suami dan penduduk Langkawi. Mahura memastikan Mahsuri tidak menetap sebumbung tetapi terus tinggal di rumah Pandak Mayah. Keluarga Pandak Mayah tidak menolak malah bersyukur kerana menantunya akan menetap bersamanya, dan dia tidak terpisah dengan Mahsuri. Perkongsian hidup Wan Mat Deris dengan Mahsuri cukup bahagia, dan mereka dikurniakan cahaya mata bernama Wan Mat Arus.
Tragedi ke atas Mahsuri bermula dengan kedatangan seorang pemuda miskin bernama Deramang yang dikatakan berasal dari Melaka. Sesetengah sumber mengatakan asalnya dari Sumatera. Deramang telah merantau ke Pulau Pinang, Perlis dan kemudian ke Langkawi. Sebagai seorang celik huruf, Deramang gemar dan merupakan ahli membaca hikayat dan syaer.
Pandak Mayah meminta Deramang membacakan hikayat dan syaer pada waktu malam di rumahnya. Acara ini telah menjadikan rumah Pandak Mayah sebagai tempat tumpuan ramai. Mahsuri juga seorang peminat setia Deramang.
Semasa Wan Mat Deris berdagang ke Siam, Mahura telah membuat tuduhan yang Mahsuri dengan Deramang mempunyai hubungan sulit. Buktinya cincin yang dipakai Deramang adalah hadiah pemberian Mahsuri.Sejauh mana hubungan intim Mahsuri dengan Deramang tidak dapat dibuktikan dengan jelas.
Dato Seri Kama Jaya tidak menyiasat dengan mendalam dan menolak semua alasan Mahsuri. Beliau telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Mahsuri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Sultan Kedah.
Apabila Mahsuri ditangkap, dibawa ke Padang Hangus dan diikatkan di pokok asam jawa. Dia diperintah dibunuh dengan rejaman tombak tetapi anehnya tombak-tombak tersebut tidak lut ke tubuh Mahsuri.
Anehnya, Mahsuri sendiri memberitahu rahsia kekebalannya iaitu tombaknya sendiri. Apabila menggunakan tombak tersebut, darah terpancut berwarna putih.
Sebelum menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak akan aman dan makmur selama tujuh keturunan.
Langkawi diserang askar Siam. Mahura dan Dato Seri Kama Jaya terbunuh. Ramai orang Langkawi ditawan dan dijadikan hamba. Bagaimanapun orang Langkawi terus berjuang menentang penjajahan di bawah pimpinan seorang lagi anak Dato Seri Kama Jaya iaitu Wan Mohd Ali.
Lagenda Mahsuri terus dikenang dalam pengertian pengajarannya. Kini Makam Mahsuri telah dibina begitu rupa sebagai kompleks sejarah dan budaya. Langkawi kembali makmur sebagai bandaraya pelancongan.