Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang asalnya dari kayangan merupakan
dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka Dewata Mulia Raja Kayangan
telah menitahkan agar mereka turun ke bumi untuk menyelesaikan
pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri
telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara mereka yang mana
kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah mereka di bumi.
Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi, penduduk kedua-dua Kampung
Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan melihat cahaya terang
laksana mentari menyusuri kampung mereka. Kejelitaan dan sifat
kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri ini.
Puteri Santubong telah menetap di kampung Pantai Biru dan menurunkan
kemahiran menenun kain kepada orang-orang kampung di situ manakala
Puteri Sejinjang pula mengajar mengasingkan sekam padi dengan aluk
kepada orang-orang kampung Pasir Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua
puteri ini, pertelingkahan pertukaran barang-barang yang berlaku selama
ini telah terhapus dan orang-orang kampung hidup aman dan damai.
Kain
tenunan Puteri Santubong begitu unik dan dijual dengan harga tinggi
manakala tanaman padi Puteri Sejinjang begitu subur dan menjadi.
Malangnya, kemakmuran yang dikecapi ini tidak berkekalan.
Kehadiran Putera Serapi dari Matang untuk melihat kehebatan kedua-dua
kampung serta kecantikan dan kejelitaan kedua –dua puteri telah
menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini
adalah kerana kedua-dua mereka telah jatuh hati dengan ketampanan,
kewibawaan dan keperkasaan Putera Serapi yang mana telah jatuh hati
kepada kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri juga.
Sementara itu, Panglima Putih berasa amat kecewa kerana pinangannya
ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir Putih dibakar oleh Sang Bualang
menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan diri ke istana Puteri Santubong.
Mereka sering berjumpa dan memadu kasih. Putera Serapi telah
menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua puteri tetapi
kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan masing-masing lebih
jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri hati makin menebal di
dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan hati Putera Serapi.
Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang ada dan telah bergaduh
berhari-hari lamanya untuk mempertahankan kejelitaan dan kemahiran
masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk
lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Jika diteliti lekukan
ini dapat dilihat di Gunung Santubong sehingga kini. Melalui kudrat dan
kekuatan yang terakhir, Puteri Santubong telah menikam belida di kepala
Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu tersungkur kerana
kesakitan. Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh
berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua
puteri ke kayangan.
Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan Puteri Santubong sebagai
gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera .
Putera Serapi yang
kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.
Jika diteliti dan diamati, gunung santubong kelihatan seperti seorang
wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai.Akibat
pukulan belida yang amat kuat otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan
berselerakan menjadi Pulau Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau
Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran
No comments:
Post a Comment