Wednesday, July 4, 2012

Kisah Mahsuri

Di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka tinggal sekeluarga tiga beranak. Si bapa bernama Pandak Mayah, isterinya Mak Andak Along dan seorang anak perempuan bernama Mek Yah. Keluarga miskin ini menjalankan kegiatan pertanian sebagai sumber rezeki iaitu menanam padi, bercucuk tanam, penternakan sara diri dan mencari hasil-hasil hutan.

Nasib keluarga ini mula berubah selepas Pandak Mayah mencari kerbaunya yang hilang. Semasa hujan lebat, dia singgah berlindung di bangsal yang ditinggalkan orang. Di situ Pandak Maya berjumpa kerak nasi yang dikatakan Maya Padi (semangat Padi).

Dalam masyarakat Melayu petani, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang perlu dihormati.Apabila Maya Padi yang berupa kerak nasi dibawa balik kepada isterinya, Mak Andak Alang telah mencampurkan dengan nasi yang ditanak. Memakan nasi bercampur Maya Padi ini menjadi titik peralihan yang mengubah nasib keluarga Pandak Maya. Rezekinya mula bertambah dan seterusnya isterinya hamil lagi.

Rezeki Pandak Mayah mula melimpah selepas menjumpai burung layang-layang di gua, di Belanga Pecah. Dia telah menjual sarang-sarang burung tersebut kepada tauke Cina di Pengkalan (Padang Mat Sirat) untuk pasaran Pulau Pinang. Sarang burung layang-layang menjadikan keluarga Pandak Mayah kaya.

Pada suatu malam , Pandak Mayah terdengar suara ular itek (ular cinta Mani) berdekatan rumahnya. Pandak Mayah berjaya menangkap dua ekor lalu dimasak untuk hidangan keluarga. Mengikut kepercayaan orang tua, siapa yang memakan daging ular itek ini akan beroleh rezeki yang melimpah. Jelaslah dari cerita di sekitar kehamilan Mak Andak Alang, keluarganya sudah berlimpah rezeki. Ini suatu petanda bayi bakal lahir membawa tuah.

Apabila tiba masa, Mak Andek Alang melahirkan bayi perempuan yang comel, dan dinamakan Mahsuri. Rezeki keluarga ini semakin bertambah apabila Pandak Mayah menjumpai batu kemian yang kemudiannya dijual kepada taukeh Cina di Padang Mat Sirat.

Mahsuri membesar seperti gadis-gadis yang lain tetapi kecantikannya yang membezakan dari gadis-gadis yang lain. Kecantikannya menjadi buah mulut orang di Langkawi. Cerita kecantikan ini menarik minat pembesar Langkawi bergelar Dato Seri Kama Jaya untuk melihat sendiri wajah Mahsuri. Apabila datang melawat Kampung Mawat, ternyata Dato Seri Kama Jaya pun turut terpikat dengan kecantikan Mahsuri dan ingin menyunting sebagai isteri kedua. Bagaimanapun hasratnya ditentang isteri bernama Mahura. Mahura dikatakan seorang wanita yang pintar dan banyak membantu suaminya mentadbir Langkawi. Hal ini menyebabkan Dato Seri Kama Jaya sukar untuk mengenepikan begitu sahaja isterinya. 

Apabila Dato Seri Kama Jaya menyuarakan hasrat hati kepada isterinya, Mahura telah menolak dan Dato Seri Kama Jaya terpaksa akur. Bagi menyelesaikan masalah , Mahura mencadangkan supaya Mahsuri dipinang untuk anak lelaki mereka yang bernama Wan Mat Deris. Wan Mat Deris dikatakan seorang anak muda yang gagah dn pintar dalam ilmu persilatan. Beliau dikatakan pernah terlibat dalam beberapa peperangan. Selain itu Wan Mat Deris juga seorang pedagang muda yang berjaya dan menjalankan urus niaga dengan Siam, Pulau Pinang serta dataran Kedah.

Perkahwinan yang diatur Mahura tidak menyelesaikan masalah kebimbangan kemerosotan pengaruhnya ke atas suami dan penduduk Langkawi. Mahura memastikan Mahsuri tidak menetap sebumbung tetapi terus tinggal di rumah Pandak Mayah. Keluarga Pandak Mayah tidak menolak malah bersyukur kerana menantunya akan menetap bersamanya, dan dia tidak terpisah dengan Mahsuri. Perkongsian hidup Wan Mat Deris dengan Mahsuri cukup bahagia, dan mereka dikurniakan cahaya mata bernama Wan Mat Arus.

Tragedi ke atas Mahsuri bermula dengan kedatangan seorang pemuda miskin bernama Deramang yang dikatakan berasal dari Melaka. Sesetengah sumber mengatakan asalnya dari Sumatera. Deramang telah merantau ke Pulau Pinang, Perlis dan kemudian ke Langkawi. Sebagai seorang celik huruf, Deramang gemar dan merupakan ahli membaca hikayat dan syaer.

Pandak Mayah meminta Deramang membacakan hikayat dan syaer pada waktu malam di rumahnya. Acara ini telah menjadikan rumah Pandak Mayah sebagai tempat tumpuan ramai. Mahsuri juga seorang peminat setia Deramang.

Semasa Wan Mat Deris berdagang ke Siam, Mahura telah membuat tuduhan yang Mahsuri dengan Deramang mempunyai hubungan sulit. Buktinya cincin yang dipakai Deramang adalah hadiah pemberian Mahsuri.Sejauh mana hubungan intim Mahsuri dengan Deramang tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

Dato Seri Kama Jaya tidak menyiasat dengan mendalam dan menolak semua alasan Mahsuri. Beliau telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Mahsuri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Sultan Kedah.

Apabila Mahsuri ditangkap, dibawa ke Padang Hangus dan diikatkan di pokok asam jawa. Dia diperintah dibunuh dengan rejaman tombak tetapi anehnya tombak-tombak tersebut tidak lut ke tubuh Mahsuri.

Anehnya, Mahsuri sendiri memberitahu rahsia kekebalannya iaitu tombaknya sendiri. Apabila menggunakan tombak tersebut, darah terpancut berwarna putih.

Sebelum menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak akan aman dan makmur selama tujuh keturunan.

Langkawi diserang askar Siam. Mahura dan Dato Seri Kama Jaya terbunuh. Ramai orang Langkawi ditawan dan dijadikan hamba. Bagaimanapun orang Langkawi terus berjuang menentang penjajahan di bawah pimpinan seorang lagi anak Dato Seri Kama Jaya iaitu Wan Mohd Ali.

Lagenda Mahsuri terus dikenang dalam pengertian pengajarannya. Kini Makam Mahsuri telah dibina begitu rupa sebagai kompleks sejarah dan budaya. Langkawi kembali makmur sebagai bandaraya pelancongan.

Kisah Puteri Santubong

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang asalnya dari kayangan merupakan dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka Dewata Mulia Raja Kayangan telah menitahkan agar mereka turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara mereka yang mana kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah mereka di bumi.

Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi, penduduk kedua-dua Kampung Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri kampung mereka. Kejelitaan dan sifat kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri ini.

Puteri Santubong telah menetap di kampung Pantai Biru dan menurunkan kemahiran menenun kain kepada orang-orang kampung di situ manakala Puteri Sejinjang pula mengajar mengasingkan sekam padi dengan aluk kepada orang-orang kampung Pasir Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua puteri ini, pertelingkahan pertukaran barang-barang yang berlaku selama ini telah terhapus dan orang-orang kampung hidup aman dan damai.

Kain tenunan Puteri Santubong begitu unik dan dijual dengan harga tinggi manakala tanaman padi Puteri Sejinjang begitu subur dan menjadi. Malangnya, kemakmuran yang dikecapi ini tidak berkekalan.
Kehadiran Putera Serapi dari Matang untuk melihat kehebatan kedua-dua kampung serta kecantikan dan kejelitaan kedua –dua puteri telah menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini adalah kerana kedua-dua mereka telah jatuh hati dengan ketampanan, kewibawaan dan keperkasaan Putera Serapi yang mana telah jatuh hati kepada kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri juga.

Sementara itu, Panglima Putih berasa amat kecewa kerana pinangannya ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir Putih dibakar oleh Sang Bualang menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan diri ke istana Puteri Santubong.

Mereka sering berjumpa dan memadu kasih. Putera Serapi telah menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua puteri tetapi kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan masing-masing lebih jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri hati makin menebal di dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan hati Putera Serapi.

Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang ada dan telah bergaduh berhari-hari lamanya untuk mempertahankan kejelitaan dan kemahiran masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Jika diteliti lekukan ini dapat dilihat di Gunung Santubong sehingga kini. Melalui kudrat dan kekuatan yang terakhir, Puteri Santubong telah menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu tersungkur kerana kesakitan. Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan.

Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan Puteri Santubong sebagai gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera .

Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.

Jika diteliti dan diamati, gunung santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai.Akibat pukulan belida yang amat kuat otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan menjadi Pulau Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran