Saturday, August 6, 2016

Pasrah

Wahai hati,
Sekelumit rasa yang gugur ke tanah impian
Menyemai benih cinta yang terlarang di taman yang indah
Yang bebunga mekar tumbuh melingkar
Cukup dibaja perasaan yang tidak terkawal
Sehingga meliar memenuhi taman hati

Hari berlalu dipenuhi rindu
Sang rembulan memaparkan wajah si dia
Hembusan angin membawa bisikan manjanya
Sinaran mentari bagai lirik matanya

Cintakah itu wahai hati
Atau sekadar bayangan opera hidup
Sedang hatimu tiada ruang kekosongan
Disampingmu sudah ada yang bertahta
Terlebih dahulu dari si bunga ini

Berbicaralah wahai hati
Yang berada di mata lebih nyata dari suri hatimu
Usah biarkan bicara manja pemutus rasa
Kerana suri tak pernah berkata
Cinta hatinya bukan dirimu wahai hati

Thursday, July 7, 2016

Hati

Sukar untukku mengerti
Mencari jawaban yang pasti
Persoalan mendatang menyelimuti diri
Merantai naluri memenjarakan hati
Mematahkan kudrat menghadap sepi
Menguburkan semangat menuju hakiki

Senyum tawa yang terlukis nyata
Gurau senda yang terpandang dimata
Bicara ria yang terdengar merata
Itu hanya pengubat derita

Wahai hati
Mengapa terus melangkah pergi
Membawa diri mencari erti
Seperti ada suri yang sudah menanti
Yang bisa merawat lukamu hati

Usahlah meratapi sepi
Bebaskanlah badi biarkan pergi
Kerna dirimu wahai hati
Akan bangkit dan terus berdiri

Wednesday, July 4, 2012

Kisah Mahsuri

Di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka tinggal sekeluarga tiga beranak. Si bapa bernama Pandak Mayah, isterinya Mak Andak Along dan seorang anak perempuan bernama Mek Yah. Keluarga miskin ini menjalankan kegiatan pertanian sebagai sumber rezeki iaitu menanam padi, bercucuk tanam, penternakan sara diri dan mencari hasil-hasil hutan.

Nasib keluarga ini mula berubah selepas Pandak Mayah mencari kerbaunya yang hilang. Semasa hujan lebat, dia singgah berlindung di bangsal yang ditinggalkan orang. Di situ Pandak Maya berjumpa kerak nasi yang dikatakan Maya Padi (semangat Padi).

Dalam masyarakat Melayu petani, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang perlu dihormati.Apabila Maya Padi yang berupa kerak nasi dibawa balik kepada isterinya, Mak Andak Alang telah mencampurkan dengan nasi yang ditanak. Memakan nasi bercampur Maya Padi ini menjadi titik peralihan yang mengubah nasib keluarga Pandak Maya. Rezekinya mula bertambah dan seterusnya isterinya hamil lagi.

Rezeki Pandak Mayah mula melimpah selepas menjumpai burung layang-layang di gua, di Belanga Pecah. Dia telah menjual sarang-sarang burung tersebut kepada tauke Cina di Pengkalan (Padang Mat Sirat) untuk pasaran Pulau Pinang. Sarang burung layang-layang menjadikan keluarga Pandak Mayah kaya.

Pada suatu malam , Pandak Mayah terdengar suara ular itek (ular cinta Mani) berdekatan rumahnya. Pandak Mayah berjaya menangkap dua ekor lalu dimasak untuk hidangan keluarga. Mengikut kepercayaan orang tua, siapa yang memakan daging ular itek ini akan beroleh rezeki yang melimpah. Jelaslah dari cerita di sekitar kehamilan Mak Andak Alang, keluarganya sudah berlimpah rezeki. Ini suatu petanda bayi bakal lahir membawa tuah.

Apabila tiba masa, Mak Andek Alang melahirkan bayi perempuan yang comel, dan dinamakan Mahsuri. Rezeki keluarga ini semakin bertambah apabila Pandak Mayah menjumpai batu kemian yang kemudiannya dijual kepada taukeh Cina di Padang Mat Sirat.

Mahsuri membesar seperti gadis-gadis yang lain tetapi kecantikannya yang membezakan dari gadis-gadis yang lain. Kecantikannya menjadi buah mulut orang di Langkawi. Cerita kecantikan ini menarik minat pembesar Langkawi bergelar Dato Seri Kama Jaya untuk melihat sendiri wajah Mahsuri. Apabila datang melawat Kampung Mawat, ternyata Dato Seri Kama Jaya pun turut terpikat dengan kecantikan Mahsuri dan ingin menyunting sebagai isteri kedua. Bagaimanapun hasratnya ditentang isteri bernama Mahura. Mahura dikatakan seorang wanita yang pintar dan banyak membantu suaminya mentadbir Langkawi. Hal ini menyebabkan Dato Seri Kama Jaya sukar untuk mengenepikan begitu sahaja isterinya. 

Apabila Dato Seri Kama Jaya menyuarakan hasrat hati kepada isterinya, Mahura telah menolak dan Dato Seri Kama Jaya terpaksa akur. Bagi menyelesaikan masalah , Mahura mencadangkan supaya Mahsuri dipinang untuk anak lelaki mereka yang bernama Wan Mat Deris. Wan Mat Deris dikatakan seorang anak muda yang gagah dn pintar dalam ilmu persilatan. Beliau dikatakan pernah terlibat dalam beberapa peperangan. Selain itu Wan Mat Deris juga seorang pedagang muda yang berjaya dan menjalankan urus niaga dengan Siam, Pulau Pinang serta dataran Kedah.

Perkahwinan yang diatur Mahura tidak menyelesaikan masalah kebimbangan kemerosotan pengaruhnya ke atas suami dan penduduk Langkawi. Mahura memastikan Mahsuri tidak menetap sebumbung tetapi terus tinggal di rumah Pandak Mayah. Keluarga Pandak Mayah tidak menolak malah bersyukur kerana menantunya akan menetap bersamanya, dan dia tidak terpisah dengan Mahsuri. Perkongsian hidup Wan Mat Deris dengan Mahsuri cukup bahagia, dan mereka dikurniakan cahaya mata bernama Wan Mat Arus.

Tragedi ke atas Mahsuri bermula dengan kedatangan seorang pemuda miskin bernama Deramang yang dikatakan berasal dari Melaka. Sesetengah sumber mengatakan asalnya dari Sumatera. Deramang telah merantau ke Pulau Pinang, Perlis dan kemudian ke Langkawi. Sebagai seorang celik huruf, Deramang gemar dan merupakan ahli membaca hikayat dan syaer.

Pandak Mayah meminta Deramang membacakan hikayat dan syaer pada waktu malam di rumahnya. Acara ini telah menjadikan rumah Pandak Mayah sebagai tempat tumpuan ramai. Mahsuri juga seorang peminat setia Deramang.

Semasa Wan Mat Deris berdagang ke Siam, Mahura telah membuat tuduhan yang Mahsuri dengan Deramang mempunyai hubungan sulit. Buktinya cincin yang dipakai Deramang adalah hadiah pemberian Mahsuri.Sejauh mana hubungan intim Mahsuri dengan Deramang tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

Dato Seri Kama Jaya tidak menyiasat dengan mendalam dan menolak semua alasan Mahsuri. Beliau telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Mahsuri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Sultan Kedah.

Apabila Mahsuri ditangkap, dibawa ke Padang Hangus dan diikatkan di pokok asam jawa. Dia diperintah dibunuh dengan rejaman tombak tetapi anehnya tombak-tombak tersebut tidak lut ke tubuh Mahsuri.

Anehnya, Mahsuri sendiri memberitahu rahsia kekebalannya iaitu tombaknya sendiri. Apabila menggunakan tombak tersebut, darah terpancut berwarna putih.

Sebelum menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak akan aman dan makmur selama tujuh keturunan.

Langkawi diserang askar Siam. Mahura dan Dato Seri Kama Jaya terbunuh. Ramai orang Langkawi ditawan dan dijadikan hamba. Bagaimanapun orang Langkawi terus berjuang menentang penjajahan di bawah pimpinan seorang lagi anak Dato Seri Kama Jaya iaitu Wan Mohd Ali.

Lagenda Mahsuri terus dikenang dalam pengertian pengajarannya. Kini Makam Mahsuri telah dibina begitu rupa sebagai kompleks sejarah dan budaya. Langkawi kembali makmur sebagai bandaraya pelancongan.

Kisah Puteri Santubong

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang asalnya dari kayangan merupakan dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka Dewata Mulia Raja Kayangan telah menitahkan agar mereka turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara mereka yang mana kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah mereka di bumi.

Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi, penduduk kedua-dua Kampung Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri kampung mereka. Kejelitaan dan sifat kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri ini.

Puteri Santubong telah menetap di kampung Pantai Biru dan menurunkan kemahiran menenun kain kepada orang-orang kampung di situ manakala Puteri Sejinjang pula mengajar mengasingkan sekam padi dengan aluk kepada orang-orang kampung Pasir Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua puteri ini, pertelingkahan pertukaran barang-barang yang berlaku selama ini telah terhapus dan orang-orang kampung hidup aman dan damai.

Kain tenunan Puteri Santubong begitu unik dan dijual dengan harga tinggi manakala tanaman padi Puteri Sejinjang begitu subur dan menjadi. Malangnya, kemakmuran yang dikecapi ini tidak berkekalan.
Kehadiran Putera Serapi dari Matang untuk melihat kehebatan kedua-dua kampung serta kecantikan dan kejelitaan kedua –dua puteri telah menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini adalah kerana kedua-dua mereka telah jatuh hati dengan ketampanan, kewibawaan dan keperkasaan Putera Serapi yang mana telah jatuh hati kepada kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri juga.

Sementara itu, Panglima Putih berasa amat kecewa kerana pinangannya ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir Putih dibakar oleh Sang Bualang menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan diri ke istana Puteri Santubong.

Mereka sering berjumpa dan memadu kasih. Putera Serapi telah menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua puteri tetapi kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan masing-masing lebih jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri hati makin menebal di dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan hati Putera Serapi.

Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang ada dan telah bergaduh berhari-hari lamanya untuk mempertahankan kejelitaan dan kemahiran masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Jika diteliti lekukan ini dapat dilihat di Gunung Santubong sehingga kini. Melalui kudrat dan kekuatan yang terakhir, Puteri Santubong telah menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu tersungkur kerana kesakitan. Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan.

Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan Puteri Santubong sebagai gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera .

Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.

Jika diteliti dan diamati, gunung santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai.Akibat pukulan belida yang amat kuat otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan menjadi Pulau Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran

Wednesday, May 23, 2012

Hari Gawai

Hari Gawai atau Gawai Dayak merupakan satu perayaan yang dirayakan di Sarawak pada 1 Jun setiap tahun. Ia adalah satu peristiwa keagamaan dan juga aktiviti sosial. Perkataan Gawai ertinya upacara perayaan manakala Dayak adalah nama kolektif untuk kumpulan etnik Sarawak asli ( Iban, juga dikenali sebagai Dayak Laut dan Bidayuh, juga dikenali sebagai Dayak Darat). Oleh itu, Gawai Dayak secara literal bermaksud "Dayak Festival". Dayak akan melawat rakan-rakan dan saudara-mara mereka pada hari ini. Lawatan itu lebih dikenali sebagai "ngabang" dalam bahasa Iban. Mereka yang terlalu jauh untuk melawat akan menerima kad ucapan.

Mod sambutan berbeza dari satu tempat ke tempat. Tuak (arak beras) dibancuh (sekurang-kurangnya satu bulan sebelum perayaan) dan masakan tradisional seperti penganan (diperbuat dari tepung beras dan gula) disediakan. Semakin medekati hari besar, semua orang akan sibuk membersihkan dan menyediakan makanan dan minuman. Pada malam pra Gawai, beras pulut dikukus dalam buluh (ngelulun pulut). Di rumah panjang, tikar baru akan dibentangkan pada Ruai (galeri terbuka yang berbumbung yang terdapat di depan pintu utama sesebuah rumah di rumah panjang). Dinding rumah dan Ruai dihiasi dengan Pua Kumbu (selimut tenunan tradisional). Penduduk rumah panjang juga akan membersihkan tanah perkuburan secara bergotong-royong. Selepas lawatan itu, adalah penting untuk mandi sebelum masuk ke rumah panjang untuk menghindari nasib malang.
Sambutan bermula pada petang 31 Mei. Dalam kebanyakan rumah panjang Iban, ia bermula dengan majlis yang dipanggil Muai Antu Rua (untuk membuang semangat/roh tamak/boros). Dua kanak-kanak lelaki setiap seorang mengheret chapan (bakul) akan memasuki setiap rumah keluarga di rumah panjang. Setiap keluarga akan melemparkan barang-barang yang tidak diingini ke dalam bakul. Barang-barang yang tidak diingini akan dibuang ke tanah dari hujung rumah panjang sebagai simbolik untuk diberikan kepada semangat/roh nasib malang.
Sekitar 6 petang atau pada matahari terbenam, upacara akan brmula. Sebelum majlis itu, gendang rayah (ritual muzik) dilaksanakan. Ketua Perayaan mengucapkan terima kasih kepada tuhan-tuhan untuk tuaian yang baik, dan meminta petunjuk, rahmat dan sepanjang hayat sambil menghayunkan ayam jantan sepanjang persembahan. Beliau kemudiannya mengorbankan ayam jantan itu dan darahnya digunakan dalam persembahan.
Makan malam kemudian diadakan di Ruai. Sejurus sebelum tengah malam, upacara ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali di Ruai dipanggil Ngalu Petara (menyambut tuhan-tuhan) dilakukan. Dalam perarakan ini, satu pertandingan ratu cantik untuk memilih ratu pesta dan raja (Kumang & Keling Gawai) kadang-kadang dijalankan. Sementara itu, minuman, kek dan kuih-muih tradisional dihidangkan.
Pada tengah malam, gong dipukul untuk memanggil orang ramai merayakan gawai. Ketua rumah panjang (tuai rumah) atau Ketua Festival akan membawa semua orang untuk minum Ai Pengayu (biasanya tuak yang sudah lama dibuat) dan pada masa yang sama mereka akan bersama-sama meyebut "gayu-guru, gerai-nyamai" (sepanjang hayat, kesihatan dan kemakmuran) . Sambutan bertukar meriah. Ada yang menari mengikut rentak muzik tradisional yang dimainkan, yang lain akan menyanyikan pantun (puisi). Di kawasan bandar, Dayak akan menganjurkan perhimpunan di pusat-pusat komuniti atau restoran untuk meraikan Gawai.
Pada 1 Jun, rumah-rumah orang Dayak dibuka kepada pelawat dan tetamu.
Secara tradisi, apabila tetamu tiba di rumah panjang, mereka diberi Tiki ai(air sambut-selalunya tuak) sebagai sambutan. Dari semasa ke semasa, tetamu dihidangkan tuak. Ini akan dipanggil nyibur temuai yang secara harfiah bermaksud "menyiram tetamu".
Dayak Kristian biasanya menghadiri gereja sebagai tanda berterima kasih kepada Tuhan untuk tuaian baik dan kebanyakkan Dayak Kristian akan mengadakan sambutan Gawai di gereja bersama dengan anggota gereja yang lain.
Sambutan Gawai Dayak selalunya berlangsung selama beberapa hari. Pada masa ini juga banyak majlis perkahwinan dilangsungkan oleh Dayak kerana pada masa ini semua ahli pulang ke rumah panjang


Sehingga 1962, kerajaan kolonial British enggan mengiktiraf Hari Dayak. Gawai Dayak secara rasmi diwartakan pada 25 September 1964 sebagai cuti umum bagi menggantikan Hari Sarawak. Ia pertama kali disambut pada 1 Jun 1965 dan menjadi simbol perpaduan, aspirasi dan harapan untuk masyarakat Dayak. Hari ini, ia adalah merupakan sebahagian daripada kehidupan sosial Dayak. Ia adalah hari kesyukuran yang menandakan hasil tuaian yang baik dan masa untuk merancang untuk musim pertanian baru atau aktiviti-aktiviti akan datang.

Pantai Tusan di Miri, Sarawak




Memang unik, cantik dan menarik gambar-gambar yang dirakam oleh salah seorang rakan sesawang saya ini. Ia mengambarkan betapa indahnya ciptaan Tuhan. Tempat ini memang bersih dan amat memukau mata memandang. Sayangnya tiada tempat penginapan di tempat ini untuk dijadikan destinasi percutian. Tidak ramai yang mengetahui tempat ini kerana jalan tanah kuning yang menuju ke tempat ini agak sukar untuk dicari dan jalan ini juga agak baru. Seandainya ia dijadikan pusat peranginan memang tidak akan merugikan kerana pantainya amat cantik. Dan sudah semestinya saya adalah salah seorang pengunjung yang akan mengunjugi tempat ini.

Menurut rakan-rakan lain juga, tempat ini adalah salah satu syurga untuk kaki pancing. Apa tidaknya, tempat ini masih baru.

Cuti tanpa gaji selama 2 tahun

Betapa lah aku mengharapkan aku ini kakitangan MAS. Baru-baru ini MAS menawarkan cuti tanpa gaji kepada kakitangan nya sebagai salah satu langkah proaktif mereka mengatur strategi kewangan. Kakitangan bukan sahaja ditawarkan bercuti tanpa gaji sekurang-kurangnya 24 bulan sehingga 48 bulan, malahan para pekerja nya dibenarkan bekerja di tempat lain di sepanjang tempoh mereka bercuti.

Semestinya ada kebaikan dan juga kekurangan yang bakal dihadapi oleh kakitangan nya yang megambil langkah ini.